My Soccer World

Brazil Setakat Menang Dengan 3 Gol

Posted on: July 29, 2008

Jurang kelas dengan Pilihan S’pura
tetap jauh berbeza

OlehMohd Sani Ali

TIDAK perlu buat sebarang andaian siapa lebih hebat antara pasukan Olimpik Brazil dengan Pilihan Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Negara malam tadi.

Cuma ada yang agak terkilan apabila Ronaldinho dan rakan-rakannya hanya mampu menembusi pintu gawang Singapura tiga kali.

Selepas mendahului tuan rumah 2-0 dalam separuh masa pertama, seramai 33,650 penonton menjangka jumlah gol akan bertambah seganda tetapi ia berkesudahan dengan 3-0 sahaja.

Malangnya, tidak ada siapa menduga pengadil Abdul Malek Bashir melayangkan kad merah kepada Alex Silva pada minit-minit akhir dan membuat Qiu Li berdiri tercegat daripada masuk ke padang perlawanan.

Tetapi keputusan pertandingan itu seakan menepati janji jurulatih skuad negara, Radojko Avramovic, bahawa Singapura tidak akan bertahan sepanjang perlawanan dan tidak akan menjadi mangsa keganasan samba Brazil.

Jika penjaga gawang Singa, Hassan Sunny, menampilkan persembahan yang diharapkan menyekat sekurang- kurangnya tiga gol pasti dalam 45 minit pertama, Lionel Lewis pula meneruskan yang terbaik dengan menyekat Brazil dalam separuh masa kedua.

Singapura masih mampu mengatur serangan balas, namun usahanya menembusi pertahanan Brazil yang dikawal oleh Rafina, Alex Silva, Thiago Silva dan Marcelo kelihatan cukup sukar.

Bagaimanapun, para peminat tetap disajikan rentak permainan samba yang tidak akan membuat mereka terlena kerana kebosanan apabila Brazil membuat umpanan ke arah rakan sepasukan tidak kurang daripada 30 kali tanpa dapat dipintas.

Ini berbanding pasukan tuan rumah yang sering kehilangan bola ketika cuba menyusun serangan.

Kubu Singapura dibolosi pada minit ke-20 hasil gerakan kemas kapten Ronaldinho, yang menguis bola ke belakang dan dimanfaatkan oleh Diego untuk gol pertama pasukan pelawat.

Ronaldinho bukan setakat menjadi perancang, malah turut menjadi pemusnah apabila dengan bergaya sambil tersenyum menolak masuk gol kedua Brazil pada minit ke-27.

Mujur ketangkasan Hassan masih menjadi tembok penghalang bagi Brazil melebarkan jurang kedudukan apabila beliau menafikan rembatan kencang Pato pada minit ke-38.

Singapura hampir mengejutkan Brazil dalam permainan separuh masa kedua jika tidak rembatan Isa Halim dan Qiu Li diselamatkan oleh penjaga gawang Brazil.

Yang jelas, melihat daripada wajah penonton yang keluar di Stadium Negara, rata-rata mereka puas kerana Singa masih mampu memberi tentangan.

Namun, Lewis tidak dapat menyekat serangan Brazil dan gol terakhir pemain Manchester City, Jo, untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-81.

Kehadiran Ronaldinho bersama rakan-rakannya jelas mampu menjadi daya tarikan terakhir untuk para peminat menuju ke Stadium Negara.

Cyberita

Leave a comment

Blog Stats

  • 40,078 hits

Top Clicks

  • None

Categories