My Soccer World

Detik Arsenal

Posted on: November 30, 2008

LONDON: Cita-cita Arsenal merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan detik penentu apabila mereka menentang pendahulu, Chelsea di tempat lawan, Stamford Bridge, hari ini.

Kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan EPL akan menjauhkan Gunners dari kedudukan teratas liga dan ketinggalan 13 mata di belakang Chelsea ketika persaingan liga musim ini cuma berlangsung 15 perlawanan.

Namun, jika menang di Stamford Bridge – yang mana Chelsea hanya tewas sekali dalam 89 perlawanan liga – akan menghantar petanda kepada semua pasukan utama bahawa Arsenal kini kembali dalam perlumbaan merebut takhta liga.

Di sebalik persembahan hambar Gunners di padang selain masalah dalam bilik persalinan, pengurusnya, Arsene Wenger tampak sedia menyahut apa jua cabaran.

“Musim ini kami bermain lebih baik ketika menentang empat pasukan teratas.

,” tegasnya.

“Kami tidak boleh menafikan hakikat itu kerana kami tewas kepada pasukan yang mungkin tidak boleh dianggap pilihan untuk berada dalam kelompok empat pasukan utama. Kenapa ia berlaku? Mungkin kerana mereka bermain dengan cara berbeza.

“Saya juga percaya sesetengah pasukan seperti Manchester City dan Aston Villa mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menyaingi kelab mana sekalipun.

“Kami perlu mengharungi perlawanan dengan keinginan yang ekstrem serta menunjukkan kekuatan sebenar kami dan bukan menyorokkannya. Kami boleh bermain dan menang di mana-mana saja di dunia.

“Kami tahu Chelsea kuat, memiliki pemain hebat tapi kami mampu menewaskan mereka jika kami bermain sesungguh hati.”

Dan dalam keadaannya menghadapi krisis, Wenger mendapat sokongan daripada sumber yang tidak dijangkanya – bos Blues, Luiz Felipe Scolari.

“Arsene sudah 12 tahun melatih di sana.

Dia yang bertanggungjawab membina pasukan. Jual itu dan ini, kemudian memasukkan pemain lain,” katanya.

“Setiap tahun Arsenal menjadi semakin bagus. Dan apabila anda menukar dua atau tiga pemain semusim, anda memerlukan masa.

“Masa, pada fikiran saya, sudah tiba untuk Arsenal dan Arsene. Mereka mampu bermain cemerlang dan memenangi banyak perlawanan.”

Scolari dan Wenger adalah rakan lama, sama-sama bersaing di Jepun pada 1990-an, dan Scolari kerap menjadi tetamu makan malam selepas perlawanan di kediaman Wenger di London.

Bekas pengurus Brazil itu berkata, dia dan Wenger berkongsi idea yang sama mengenai bola sepak, di sebalik memiliki personaliti berbeza.

“Kami hanya bermusuhan 90 minit,” tegas Scolari. “Sebelum perlawanan, kami membincangkan perlawanan, pemain itu atau ini.

“Selepas perlawanan di Stamford Bridge, dia tahu saya akan mempelawanya minum bersama dan bersembang, tidak kira sama ada menang, seri atau kalah. Kami berdua bersahabat. Tapi ketika perlawanan, kami bermusuhan.”

Stamford Bridge boleh bertukar menjadi gelanggang panas buat pemain kedua- dua pasukan dan Wenger merayu supaya semua pihak bertenang.

Pemain pertahanan England, Ashley Cole masih menjadi mangsa cemuhan susulan perpindahannya dari Arsenal ke Chelsea, manakala pertahanan Perancis, William Gallas, yang berpindah dari Chelsea ke Arsenal, baru-baru ini menimbulkan kekecohan apabila mengkritik rakan sepasukannya – mengakibatkannya dipecat daripada jawatan kapten.

Penyerang Perancis, Nicolas Anelka, pendahulu penjaring terbanyak EPL dengan 12 gol, kembali berdepan kelab lamanya, Arsenal, yang ditinggalkannya pada 1999.

Arsenal mendapat semula khidmat penyerang Emmanuel Adebayor, pemain tengah menyerang Samir Nasri dan pertahanan kanan, Bacary Sagna yang pulih daripada kecederaan.

Penyerang Chelsea, Didier Drogba menjalani penggantungan manakala pemain tengah Joe Cole mungkin tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika seri 1-1 dengan Bordeaux, Rabu lalu.

Chelsea memenangi pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan, dengan dua gol Didier Drogba memadam kelebihan jaringan pembukaan Sagna di Stamford Bridge, Mac lalu.

Ketika Chelsea seri dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu ini, Arsenal pula menewaskan Dynamo Kiev 1-0. Namun, Arsenal masih berdepan tugas berat untuk mencatat kemenangan pertama di Stamford Bridge dalam lapan percubaan – kali terakhir pada Februari 2004.

Malah, Arsenal hanya menang sekali dalam 12 pertemuan dengan Chelsea pada semua pertandingan. – AFP

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 28,632 hits

Top Clicks

  • None

Categories

%d bloggers like this: