My Soccer World

Fashionista Memed

Posted on: November 22, 2008

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Berlatarkan Pavilion KL – nadi fesyen terbaru Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Memed terus bereksperimentasi dengan fesyen… Ikuti kisahnya!

BANYAK mata memandang tatkala jejaka bertubuh tinggi tegap ini melangkah masuk ke ikon pusat beli belah terkemuka, Pavilion KL. Mengapa tidak, pada ketinggian 183 sentimeter, Casmad Sanuri atau dipanggil Memed oleh kalangan socialite – pantas mengundang perhatian siapa saja.

Mungkin bagi yang tidak mengenalinya, pantas menganggap suami kepada Elyna Effendi ini masih memegang title Mr Bachelor. Mana tidaknya, cita rasa fesyen up to date serta aura gaya tersendiri bagai mengaburi status diri.

Ketika diminta beraksi di depan kamera, tanpa ragu-ragu jejaka ini menzahirkan pesona kelas tersendiri. Hasilnya, mood fesyen yang bersemi dalam diri serasi menyatu. Tidak ragu lagi bahawa aura fesyen serasi dengan karektor diri bapa anak dua ini.

Kata Memed, tidak semestinya lelaki bujang saja bergaya hebat kerana fesyen itu sendiri universal dan harus dinikmati sesiapa saja.

“Saya sendiri memang suka fesyen. Sebab itulah saya bersama rakan kongsi nekad membuka butik The Emperor’s New Clothes (Tenc) di Pavilion.

“Kami membawa masuk beberapa jenama pakaian lelaki terkenal di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk dipasarkan di Malaysia,” katanya yang mengembara di beberapa negara bagi meninjau sendiri label fesyen lelaki untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

Tanpa berselindung, Memed berkata, impiannya memastikan lelaki setanding dengan wanita dari aspek cita rasa fesyen.

Katanya, fesyen tidak harus digayakan pada waktu tertentu saja, sebaliknya harus dijadikan gaya hidup masyarakat tanpa prejudis.

“Kalau nak diikutkan, lelaki di Malaysia semakin ramai bercita rasa tinggi kala bergaya. Ini dapat dilihat bagaimana mereka sendiri memilih pakaian dan kesesuaian tema majlis.

“Menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai jejaka di Malaysia menjadikan fesyen sebagai satu gaya hidup dan lebih bergaya,” kata Memed yang juga Pengarah Urusan di butik Tenc. Butik ini yang dirasmikan pada 23 Mei lalu, menjadi alternatif bagi jejaka mendapatkan jenama pakaian terkenal dunia di bawah satu bumbung.

Sambil berbual panjang dengan Memed, Elyna yang datang bersama anak sulung mereka, Elyca, empat tahun, sempat berkongsi cerita suaminya itu.

Kata Elyna yang juga Pengarah Strategi Pemasaran Stor Tenc, beliau sentiasa menyokong dan memberikan dorongan kepada suami melebarkan perniagaan.

Elyna berkata, tiada masalah untuknya dan anak-anak berkunjung ke butik stor itu andai ingin bertemu Memed. Interaksi sebegitu membolehkan mereka saling mesra dan penuh kasih sayang.

“Sudah pasti saya menyokong sepenuhnya pilihan beliau (Memed) dalam membina karier dalam bidang fesyen ini. Kesungguhan Memed saya hargai dan hormati,” katanya.

Banyak perkara dibualkan, Memed terus berfashionista.

Tanpa ragu Memed menzahirkan kecintaan beliau terhadap fesyen, dunia lelakinya serta kehidupan bergelar suami serta bapa Elyca dan Mecael yang baru berusia 18 bulan.

Terangkan perkembangan terkini Memed?

Semestinya segala tumpuan banyak diberi kepada Tenc yang dibuka Januari lalu. Setakat ini, sambutan amat menggalakkan dan kami sendiri masih di peringkat pembelajaran kerana Tenc adalah peneraju kepada pemasaran pelbagai jenama pakaian lelaki terkenal dari AS dan Eropah. Kesibukan di butik ini membuatkan si kecil turut merungut kerana tiada banyak masa untuk dirinya (ketawa).

Secara peribadi, adakah Memed sendiri cintakan fesyen?

Semestinya saya sukakan fesyen… Sebab itulah saya memilih berada dalam industri fesyen. Melihat kepada fenomena fesyen khususnya kepada lelaki, semestinya bidang ini menjamin masa depan yang baik.

Mengapa memilih untuk berada dalam bidang fesyen?

Pengalaman dua tahun terbabit dalam bidang ini sebelum ini sedikit sebanyak mendedahkan ruang yang berpotensi untuk difokuskan. Apatah lagi apabila menjurus kepada pasaran lelaki yang masih baru khususnya di Malaysia jika dibandingkan New York atau bandar lain.

Tetapi tidak semudah itu untuk menubuhkan Tenc kerana tempoh enam bulan diperuntukkan untuk memilih jenama, selain kerjasama yang dijalin sebelum membawa masuk jenama ini ke Malaysia.

Terangkan cita rasa fesyen Memed?

Saya suka gaya chic. Tidak terlalu konvensional dan memilih gaya seiring faktor usia. Gaya pula tidaklah keterlaluan kerana ia bergantung kepada lokasi dan situasi majlis. Apapun, kegemaran saya semestinya seluar denim dan jaket. Jenama denim pula sama seperti yang digemari Justin Timberlake iaitu William Rast.

Ikon fesyen lelaki pilihan Memed?

Jika bercerita mengenai pereka fesyen, saya memilih pereka terkenal Tom Ford tetapi ikon terbaik ada pada diri David Beckham. Kita boleh lihat sendiri gaya beliau yang sentiasa mencipta fenomena. Gayanya cukup mempersembahkan aura diri seorang lelaki.

Tidak terfikir untuk menjadi pereka fesyen satu hari nanti?

Saya tidak terfikir begitu ketika ini. Lagi pula, saya tidak ada sebarang pendidikan formal dalam rekaan fesyen. Buat masa ini, memang saya hanya berminat sebagai pengedar jenama terkenal lelaki terpilih di bawah butik Tenc.

Pandangan Memed mengenai penggayaan fesyen lelaki di Malaysia?

Boleh dikatakan mereka mengikut cita rasa fesyen yang berlaku di seluruh dunia. Mungkin kerana terdedah dengan pengaruh gaya yang melanda, membuatkan semakin ramai mempunyai cita rasa yang baik ketika memilih gaya.

Bagaimana rasanya untuk mendidik lelaki beralih kepada gaya yang stailo?

Mudah saya. Yakin diri! Perlu untuk mempunyai keyakinan sebegitu untuk memastikan yang kita sentiasa berjiwa muda . Tidak semestinya perlu berbelanja lebih atau mewah semata-mata untuk kelihatan hebat, sebaliknya cara kita membawa imej itu sendiri yang membuktikan gaya fesyen bersesuaian atau tidak.

Perlukah berbelanja lebih untuk bergaya?

Ia bergantung kepada kemampuan dan cita rasa kita sendiri. Bagi saya, ia bergerak seiring khususnya di kalangan lelaki yang sudah stabil kedudukan kewangan. Gaya serta jenama yang dipilih menempatkan karisma dan personaliti seorang lelaki di kalangan masyarakat sekeliling.

Terangkan nadi fesyen di Kuala Lumpur?

Saya dapat melihat ramai pereka fesyen berbakat ada di Kuala Lumpur yang mampu menyemarakkan dunia fesyen tempatan. Malah, warganya pula kelihatan semakin glam dalam mencorak gaya serta trend terbaru yang semakin ke depan. Ini dapat disaksikan dalam mana-mana majlis rasmi yang begitu mempesonakan.

Secara peribadi, bandaraya mana yang mengujakan anda dari segi penggayaan fesyen?

Saya kagum dengan cita rasa fesyen masyarakat New York yang jelas menterjemahkan fesyen dengan cita rasa begitu hebat. Ini kerana mereka yakin dengan diri sendiri. Di Asia pula, penduduk Jepun juga tidak terkecuali memilih fesyen mengikut acuan mereka.

Terangkan konsep The Emperor’s New Clothes (Tenc)?

Butik ini menawarkan pilihan terbaik untuk cita rasa fesyen lelaki di mana kami menyediakan pelbagai jenama terkenal dari AS dan Eropah yang semestinya sudah terkenal di sana. Antara jenama yang boleh didapati seperti Antik Denim, Armand Basi, Romeo Gigli dan William Rast.

Sibuk bekerja, bagaimana pula peranan Memed sebagai suami dan bapa?

Saya memang berusaha keras untuk keluarga. Kesibukan di butik ini sedikit sebanyak membataskan ruang untuk bersama anak dan isteri. Gelagat Elyca dan Mecael memang dirindui dan semahunya saya akan meluangkan banyak masa untuk keluarga bila sempat. Gembira kerana Elyna sangat memahami dan memberi sokongan 150 peratus.

Melihat kesibukan Memed, masih adakah masa untuk diri sendiri?

Saya memilih ruang saya sendiri dengan bersukan. Memang saya gemar bersukan kerana pernah mewakili pasukan kebangsaan Indonesia di Yogjakarta dalam sukan bola tampar. Tetapi kini, tiada lagi masa begitu kerana hampir setiap hari sibuk di butik dan bertemu pelanggan. Jika ada kelapangan pun, saya akan ke gimnasium tiga kali seminggu.

Bagaimana pula dengan rutin penjagaan diri?

Saya tidak pula ke arah penjagaan wajah kerana kulit muka saya jenis normal dan tidak bermasalah.

Lokasi percutian idaman Memed?

Saya sekeluarga sentiasa pastikan bercuti bersama ke luar negara sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jika sebelum ini kami ke Gold Coast, Australia, insya Allah akhir tahun ini kami merancang ke Hawaii pula. Penting untuk kami bersama selepas sibuk dengan karier.

Biodata: Nama: Casmad Sanuri Nama Komersial: Memed Umur: 35 tahun Tarikh lahir: 16 Jun 1973 Tempat lahir: Jakarta, Indonesia Tinggi: 183 sentimeter Berat: 79 kilogram Nama isteri: Elyna Effendi Nama anak: Elyca (4 tahun), Mecael (1 tahun, 6 bulan)

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 28,592 hits

Top Clicks

  • None

Categories

%d bloggers like this: