My Soccer World

Johor FC Terus Bergaya

Posted on: July 13, 2008


AZUWAD menjaringkan gol kedua Johor FC ketika menang 3-1 ke atas Sabah semalam.



JOHOR FC mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Sabah pada saingan Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium JCorp Pasir Gudang malam tadi.

Skuad bimbingan Ramlan Rashid itu mendahului 1-0 menerusi jaringan Khairi Kiman pada minit ke-20 selepas menerima umpanan daripada Andres Funtes Gustavo.

Sang Lebah kemudian terus menyengat dengan gol kedua yang hadir menerusi Mohd. Azuwad Md. Arip pada masa kecederaan babak pertama.

Babak kedua menyaksikan skuad Lebah terus menguasai permainan dengan melakukan asakan bertali-arus, namun beberapa percubaan mereka gagal menemui sasaran.

Sabah bagaimanapun berjaya merapatkan jurang apabila Bobby Gonzalez meledakkan gol sulung mereka pada minit ke-81.

Begitupun, Johor FC menjamin kemenangan selesa apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Mohd. Saiful Sabtu pada minit ke-91.

Begitu pun, perlawanan tersebut dicemari insiden pergaduhan antara pemain Sabah, Ahmad Tarmini Saiban dengan pemain Johor FC, Mohd. Nurul Azuan Roya pada minit ke-75, sekali gus memaksa pengadil perlawanan, Danny Ong Kim Heng melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain tersebut.

Sementara itu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-3 kepada pendahulu Kumpulan B, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jaringan hatrik penyerang import, Micheal Barasa pada minit ke-16, 38 dan 45 berjaya membantu PDRM menyekat hasrat pasukan Pulau Mutiara itu untuk melangkah suku akhir.

Pulau Pinang bagaimanapun berjaya mendapat gol saguhati menerusi sepakan penalti M. Prakash pada minit ke-65 selepas Rosli Azizan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Derita Pulau Pinang berterusan apabila V. Jaganathan diperintah keluar padang pada minit ke-87 selepas menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran terhadap pemain pasukan PDRM.

Di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur tumpas 1-4 kepada Kedah dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.

Di Stadium Sultan Mohammed IV, pendahulu Kumpulan A, Kelantan tewas 0-1 kepada Terengganu.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan tunduk 1-2 kepada Selangor.

Di Stadium Sarawak, Kuching, tuan rumah berjaya membenam Melaka 4-1.

Dalam Kumpulan C di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Perak berjaya membelasah tuan rumah ATM 5-1.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang pula dibelasah 1-4 oleh Perlis.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, UPB-MyTeam yang telah pun layak ke suku akhir tewas mengejut 1-2 kepada Johor Pasir Gudang.

Kosmo

Leave a comment

Blog Stats

  • 39,987 hits

Top Clicks

  • None

Categories