Posted by: Putera Emas on: August 22, 2008
KEPUTUSAN Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) membekukan pemain import untuk liga Malaysia 2009 mengundang kontroversi. Peminat bola sepak Malaysia nampaknya berbelah bagi. Ada yang menyokong FAM dan tidak kurang pula yang menentang.
Rasional FAM ialah kehadiran pemain import tidak membantu perkembangan bola sepak Malaysia. Rasa-rasanya ramai rakyat Malaysia yang bersetuju dengan rasional ini.
Perkara ini bertentangan dengan hasrat awal ketika program pemain import diperkenalkan dulu. Ketika itu, harapan menggunung yang kehadiran pemain import dapat mempertingkatkan lagi mutu bolasepak negara ini.
Sayang sekali perkara tersebut tidak terjadi. Kedudukan Malaysia di dalam senarai bola sepak dunia amat memalukan. Malahan sama taraf dengan Laos dan Kemboja yang baru mengenali bola sepak tetapi lebih teruk dari Bangladesh.
Orang lama yang pernah menghayati zaman kegemilangan bola sepak Malaysia di tahun-tahun 50an hingga 70an amat berbangga dengan keupayaan kita sendiri. Zaman itu tidak ada pemain import. Tetapi Malaysia merupakan pasukan terkuat di Asia Tenggara dan Asia.
Jepun, Korea, China dan India menjadi mangsa kepada Malaysia di dalam pertandingan Piala Merdeka. Tak perlulah dibandingkan dengan negara-negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura.
Kini yang terjadi adalah sebaliknya. Jepun, China dan Korea menjadi pasukan terbaik dunia. Sedangkan Malaysia seringkali tak boleh angkat muka dengan Singapura.
Perkara ini terjadi dalam keadaan terdapat berpuluh-puluh pemain import di Malaysia. Jelas sekali pemain import gagal mempertingkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Sebabnya ialah pemain import yang dibawa masuk tidak benar-benar bertaraf profesional. Kalau mereka benar-benar baik, sudah tentu mereka akan ke Eropah, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan China di mana “rumput di negara-negara tersebut lebih hijau” dari Malaysia.
Pernah satu ketika ketika bertugas di sebuah negara Afrika, pasukan bola sepak negeri meminta bantuan kedutaan menghubungi beberapa orang pemain untuk dibawa ke Malaysia.
Pihak kedutaan bagaimanapun, tidak dapat menghubungi “kelab” yang dimaksudkan oleh kerana kelab tersebut cuma sebuah pasukan bola sepak kampung tanpa kemudahan telefon dan beratus-ratus kilometer jauhnya dari ibu kota.
Menurut ceritanya nama-nama itu diberi oleh pemain-pemain import atau pemain yang datang untuk diuji tetapi gagal kerana mutu yang rendah. Khabarnya ada antara mereka terus tinggal di Malaysia.
Lainlah kalau pemain-pemain import tersebut diambil dari kelab-kelab terkemuka dunia. Pengalaman mereka sudah tentu dapat membantu pemain-pemain tempatan. Tetapi harganya juga mestilah mahal. Mana nak sama antara intan dengan tembaga.
Pemain import bukanlah setakat untuk memperolehi kutipan pintu masuk yang tinggi. Paling penting ialah mutu permainan. Adalah lebih baik sekiranya pemain tempatan diberi gaji yang tinggi seperti mana gaji pemain import. Pasti mereka akan bermain bersungguh-sungguh kerana gaji dan mutu bola sepak negara.
Terdapat perbezaan antara pemain-pemain import yang bermain dengan berbagai kelab di negara-negara maju dengan negara-negara membangun seperti Malaysia.
Jadi untuk menyamakan pemain-pemain import di United Kingdom (UK) dengan Malaysia adalah satu perbandingan yang tidak tepat.
Kesempatan menonton beberapa pertandingan anjuran FAM di televisyen menyaksikan mutu pemain-pemain import yang amat mengecewakan. Agaknya apalah perasaan pemain-pemain veteran kita seperti Shukur Salleh, Mohamad Bakar, Santokh Singh dan lain-lain ketika menonton permainan seumpama ini.
Apa yang penting ialah pemain-pemain kita didedah kepada persekitaran bola sepak antarabangsa. Mereka juga janganlah bersikap seperti kanak-kanak dan terlalu manja. Pasukan China dan Korea patut dijadikan contoh.
Dulu pernah beberapa orang jurulatih terkemuka menjadi jurulatih pasukan Malaysia. Tetapi tidak lama. Mereka meninggalkan Malaysia kerana berbagai sebab termasuk kerenah pemain-pemain dan pegawai.
Sebenarnya kecemerlangan pasukan bola sepak sesebuah negara bukan terletak di tangan pemain import. Sebaliknya adalah di tangan anak watan negara-negara itu sendiri. Kekuatan itu hanya boleh diperolehi melalui kesungguhan dan semangat waja di samping latihan-latihan yang sistematik dengan menggunakan teknologi terkini.
Dalam hubungan ini ia sudah tentu memerlukan pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih yang benar-benar cintakan dan memahami bola sepak. Biarlah pelantikan berdasarkan kepada profesionalisme dan bukan penglibatan politik.
Utusan Malaysia
December 16, 2008 at 3:03 pm
PERSEMBAHAN MALAYSIA DALAM PERTANDINGAN MEREBUT PIALA AFF AMAT MENGHAMPAKAN. SEJAK TAHUN 1994, KEUPAYAAN SKUAD NEGARA TURUN MENDADAK.
KEMUNGKINAN BESAR KERANA MEREKA TIDAK TERDEDAH KEPADA PERTANDINGAN YANG MELIBATKAN NEGARA YANG RAMAI PEMINAT BOLA SEPAK. ANDAI KITA MENGULIK KEMBALI SEJARAH, SETELAH PENARIKAN DIRI SINGAPURA DARI LIGA MALAYSIA, KITA SEAKAN HARIMAU HILANG BELANG DAN PENONTON JUGA SEMAKIN BERKURANGAN. DARI ITU, HASIL KUTIPAN PINTU MASUK BERKURANGAN DAN MENJEJAS KEUPAYAAN FAM MEMBAWA PEMAIN IMPORT YANG BERMUTU.
PADA PANDANGAN SAYA, ANDAINYA FAM DAPAT MENGUNDANG SINGAPURA DI DALAM ARENA BOLASEPAK NEGARA, BARULAH MUTU PEMAIN BAKAL MENINGKAT.
KEDUA, FAM HARUS SEMAK SEMULA WUJUDNYA KELAB2 DALAM LIGA MALAYSIA. DENGAN ADANYA KELAB2 DI DALAM LIGA MALAYSIA, KITA SUSAH HENDAK BERKUMBANG. SEPATUTNYA LIGA MALAYSIA HANYA UNTUK NEGERI2 SAHAJA. KELAB2 MUNGKIN BERMAIN DALAM LIGA YANG BERBEZA DAN PEMAIN YANG BERPOTENSI DALAM LIGA KELAB BAKAL DISERAP DALAM LIGA MALAYSIA.
DENGAN CARA INI, KITA DAPAT MELIHAT PEMINAT YANG RAMAI MEMBANJIRI STADIUM NEGERI MASING2 DAN MENYEMARAKAN SUASANA. CARA INI JUGA DAPAT MEMBERI SEMANGAT KEPADA PEMAIN KERANA APABILA MEREKA MELIHAT RAMAI PENONTON, MEREKA AKAN BERMAIN DENGAN PENUH JIWA RAGA MEREKA. AKHIR KATA DARI SAYA, MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA.