Posted by: Putera Emas on: June 14, 2008
Untuk menghabiskan satu hari istimewa bersama bapa tersayang, anda boleh membawanya membeli-belah, bercuti ataupun menikmati menu khas Hari Bapa.

BAPA sememangnya seorang insan yang luar biasa. Beliau bukan sahaja menyandang tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga, tetapi berusaha keras dalam menjamin kesejahteraan hidup bagi diri dan setiap ahli yang diketuainya.
Tidak mengenal erti berhenti dalam mengharungi cabaran hidup yang semakin meningkat, segala usaha, penat lelah dan pengorbanan yang dicurahkan bapa adalah demi keluarganya.
Di sebalik sikap bapa yang dilihat sebagai individu tegas, garang dan memainkan watak ‘guru disiplin’ dalam mendidik anak-anaknya, bapa hakikatnya tidak lokek dengan kasih sayang dan ingin memberikan yang terbaik untuk setiap ahli keluarganya.
Bapa juga adalah tonggak kekuatan keluarga yang sentiasa melindungi anak-anak daripada ketakutan dan kekejaman.
Segala kasih sayang dan contoh yang telah ditunjukkan oleh bapa menjadi panduan hidup si anak pada masa hadapan.
Bagi menghargai dan meraikan peranan yang dimainkan oleh seorang bapa, satu hari istimewa diwujudkan dalam setahun iaitu Hari Bapa. Hari istimewa ini bukan hanya hari untuk memberi penghormatan kepada bapa, tetapi kesemua lelaki yang telah bertindak sebagai ‘pelindung’ seperti bapa dalam hidup setiap individu sama ada bapa tiri, pak cik, datuk mahupun abang.
Hari Bapa diraikan pada tarikh yang berbeza di setiap negara dan biasanya melibatkan pemberian hadiah kepada insan yang diraikan, di samping aktiviti yang melibatkan kaum keluarga lain.

BAPA dilihat sebagai tonggak kekuatan keluarga yang melindungi dan menjamin kesejahteraan setiap ahlinya. – Gambar hiasan
Di Malaysia, Hari Bapa pada tahun ini bakal disambut pada 15 Jun. Tidak lari daripada tradisi, pelbagai aktiviti disediakan untuk insan yang boleh dikatakan sebagai Raja Hatiku ini.
Salah satunya ialah menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga tersayang. Ada pepatah yang mengatakan untuk menawan hati lelaki adalah dengan menepati seleranya.
Sehubungan itu, pelbagai hotel seluruh negara menawarkan pengembaraan kulinari istimewa bagi insan luar biasa yang bakal diraikan pada hari Ahad ini.
Awana Genting Highlands Golf & Country Resort akan menawarkan bufet makan malam mewah sambil dikelilingi suasana dingin kawasan tanah tinggi di Rajawali Coffee House. Hidangan mula disajikan dari pukul 7 malam sehingga 10 malam. Tentulah tidak lengkap tanpa hadiah istimewa kepada mereka yang hadir. Dengan harga RM45++ untuk dewasa dan RM22.50++ untuk kanak-kanak, raikan Hari Bapa dengan kemeriahan keluarga tersayang. Hubungi 03-6436 9000 sambungan 7605 atau 7675 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau tempahan.

MENIKMATI hidangan enak bersama keluarga tersayang pastinya ‘hadiah’ yang cukup bermakna buat si bapa.
Bagi mereka yang menggemari suasana pulau yang santai, Resort Awana Porto Malai Langkawi juga meraikan para bapa pada Jun ini dengan menawarkan Set Menu Hari Bapa yang enak di restorannya, Villa Rossi pada 17 Jun, dari pukul 6.30 petang sehingga 10.30 malam.
Dengan harga RM60 seorang, nikmati keenakan hidangan yang dimulakan dengan sup pembuka selera sebelum diteruskan dengan hidangan utama daging panggang atau ikan dan diakhiri dengan pencuci mulut bersama minuman panas kopi atau teh. Set tersebut juga termasuk segelas minuman pertama dan curut percuma untuk si bapa.
Untuk mendapatkan maklumat atau membuat tempahan, hubungi talian 04-9555111 atau layari laman web www.awana.com.my.
Sementara itu, Chef Eksekutif Randy Low dan pasukan chefnya dari Di-Atas Brasserie, Hotel The Legend Kuala Lumpur turut menyediakan sajian istimewa untuk bapa iaitu bufet hi-tea (RM50++) dan makan malam (RM78++).
Antara hidangan yang menambat selera ialah salad ayam perap Thai, ayam bon-bon, sup kambing Mamak, tempura moriawase bersama perasa, kutlet daging bebiri, ikan salmon bersama krim dill, ravioli udang dengan krim basil, murtabak, stimbot dan itik panggang bersama cendawan liar dalam daun teratai serta pencuci mulut enak seperti pai lemon meringue, pulut kaya durian, sacher torte dan ais kacang.
Pada majlis hi-tea ini, turut disediakan ialah aktiviti keluarga yang menyeronokkan dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk penginapan dan baucer hidangan di hotel berkenaan.
Hubungi Di-Atas Brasserie di talian 03-40429 888 sambungan 9032 atau e-mel kepada fb@legendsgroup.com untuk tempahan atau maklumat lanjut.
Selain itu, Cafe Serena Brasserie di Hotel Nikko Kuala Lumpur juga menyajikan bufet makan malam khusus untuk bapa.
Si bapa pasti akan berseronok dengan pelbagai variasi makanan yang ditawarkan termasuk ikan dan ayam jeli, pasta salad makan laut, sup bawang bersama kruton keju, ayam bijan goreng bersama mayones manga, nasi pulut goreng gaya Hong Kong, tiramisu teh hijau, Swiss roll dengan kaya, kek keju dan pelbagai lagi.
Berharga RM90++ setiap individu, bufet ini disajikan pada 14 Jun dan 15 Jun, bermula dari pukul 7 malam sehingga 10.30 malam. Hubungi talian 03-2782 6228 untuk tempahan.

KEK istimewa oleh Hotel The Legend Kuala Lumpur menyerikan lagi sambutan Hari Bapa.
Kafe Melting Pot di Hotel Concorde Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan meraikan insan istimewa pada Hari Bapa ini dengan menyajikan hidangan makan malam mewah dan hi-tea yang pastinya memuaskan hati setiap pengunjung.
Sajian asas untuk hidangan utama termasuklah yong tow foo, bratwurst ayam, marinara kupang, nasi goreng dalam daun teratai dan pelbagai lagi. Turut disajikan ialah masakan tempatan yang menjadi kegemaran seperti sotong kangkung, popiah basah dan daging panggang bersama sos.
Selain itu, penggemar makanan laut pastinya bergembira dengan kepelbagaian sajian segar seperti tiram, kupang hijau New Zealand dan udang harimau yang diletakkan di atas ais. Sebagai pelengkap pengembaraan gastronomi sempena Hari Bapa, tentunya pencuci mulut yang panas dan sejuk turut disajikan.
Bagi sajian makan malam pula, mulai dengan mi sui gow, itik Peking, kekapis goreng, ikan kod bersama sos mangga dan Thai serta pelbagai hidangan lain.
Kima Artik perap, asparagus laut, udang karang, tiram, satay Kajang, udang laut besar dengan mentega bawang bercili, daging tulang rusuk masak hitam manis, tartlet buah, charlotte manga, tiramisu dan banyak lagi pasti mengundang selera si bapa.
Bufet hi-tea Hari Bapa di Kafe Melting Pot ini berharga RM58++ seorang manakalah bufet makan malam pula bernilai RM85++. Untuk tempahan, hubungi 03-2144 2200 sambungan 2337.
Kosmo