Posted by: Putera Emas on: April 8, 2008
Oleh KHAIRI MOHAMAD mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

PERBEZAAN tiket ‘original’ (atas) dan tiket palsu (bawah) yang berjaya di rampas oleh Kafa, Jumaat lepas.
STADIUM penuh, tetapi kutipan tiket tidak seberapa.
Walaupun saingan bola sepak Liga Perdana musim 2007/2008 menyaksikan sokongan penyokong Kelantan begitu konsisten membanjiri stadium, namun ada pihak ‘menangguk di air keruh’.
Setelah sekian lama, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya mengesan kegiatan menjual tiket palsu yang semakin berleluasa dengan menyasarkan pembeli di kalangan peminat fanatik termasuk menggunakan nama beberapa kelab penyokong.
Terbaru, ia dikesan pada perlawanan antara Kelantan menentang Harimau Muda di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, Kota Bharu Jumaat lalu apabila sejumlah penonton dihalang daripada memasuki stadium kerana memiliki tiket palsu.
Setiausaha Agungnya, Mohd. Noordin Awang memberitahu bahawa Kafa mengesan terdapat unsur-unsur penyelewengan setelah mendapati jumlah tiket yang dijual kurang berbanding jumlah penonton yang memenuhi stadium.
Menurutnya, dia yang hairan dengan suasana tersebut membuat pemeriksaan semula ke atas tiket yang dijual dan mendapati banyak tiket kelab penyokong yang dijual dengan harga RM5 telah dipalsukan.
“Mereka menggunakan mesin pengimbas untuk memalsukan tiket tersebut kemudian mencetaknya sebelum dijual kepada penyokong.
“Namun, tiket palsu boleh dikesan kerana ia menggunakan kertas kualiti rendah dan menyebabkan warnanya agak pudar, tidak mempunyai tanda lutsinar serta lubang-lubang yang ditebuk khas,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, Kafa mula syak wujudnya kegiatan tidak bertanggungjawab itu ketika pertemuan dengan Proton FC serta PKNS FC sebelum ini setelah mendapati jumlah kutipan tiket tidak memadai dengan kehadiran penonton.
“Kita hairan apabila mendapati jumlah tiket yang dijual sekitar 13,000 keping sahaja tetapi jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan sentiasa melebihi angka tersebut.
“Ketika perlawanan terakhir menentang Harimau Muda Jumaat lalu kita berjaya mengesan lebih 1,000 tiket palsu dan menghalang pemegang tiket daripada memasuki stadium,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai tindakan susulan pihaknya akan mengetatkan lagi kawalan di pintu masuk stadium serta semua penyokong mesti memegang tiket masing-masing untuk diperiksa sebelum memasuki stadium.
“Kita tidak lagi membenarkan penyerahan tiket secara berkumpulan kerana dengan cara itu mereka akan mengambil kesempatan menyelitkan tiket-tiket palsu sebaliknya setiap orang mesti pegang tiket masing-masing,” tambahnya.
Mohd. Noordin juga menasihatkan para penyokong supaya mengelakkan diri membeli tiket dengan ‘ulat-ulat’ sebaliknya terus berurusan dengan kaunter yang sah.
Dalam pada itu, kata Mohd. Noordin, Kafa juga bakal berdepan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat kali kedua gara-gara tindakan luar kawalan para penyokong.
“Kita akan berdepan panel FAM pada Khamis ini dan berdepan hukuman kerana sikap penyokong yang membaling mercun serta mengibarkan bendera parti ketika pertemuan dengan Johor 10 Mac lalu,” katanya.
Powered by Kosmo