Posted by: Putera Emas on: April 6, 2008
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH

BUNYAMIN Omar dan Badrul Bakhtiar(kiri).

SEKALIPUN Chelsea bukanlah kelab kegemaran mereka namun bagi Muhd. Bunyamin Omar dan Badrul Bakhtiar, mereka rela berpaling tadah buat seketika.
Bunyamin, pemain UPB-MyTeam dan Badrul, tonggak utama Kedah, dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjalani latihan selama dua minggu bersama kelab gergasi Liga Perdana England itu bermula minggu depan.
Pemilihan mereka dibuat atas persetujuan Chelsea selepas kedua-dua pemain berbakat itu mempamerkan aksi menakjubkan ketika beraksi bersama skuad remaja kebangsaan pada Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) tahun lepas.
Bagi Bunyamin, peminat setia skuad Arsenal dan Badrul, peminat fanatik Liverpool, mereka akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin.
“Sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menjalani latihan bersama salah sebuah kelab terbaik di Eropah,” kata bekas kapten skuad remaja kebangsaan, Bunyamin.
“Walaupun saya meminati Arsenal, saya sanggup berpaling tadah sekejap demi mengutip pengalaman dan pengetahuan berharga di Eropah.
“Pengalaman dan pendedahan yang dikutip nanti pastinya amat bernilai dan saya rela mengubah haluan seketika demi kepentingan dan kemajuan karier bola sepak saya,” kata pemain perancang yang berasal dari Sik, Kedah itu.
Menurut Bunyamin, selain menimba pengalaman, dia juga yakin dapat mempelajari sendiri selok belok corak latihan dan permainan bola sepak Eropah terutamanya dalam saingan Liga Perdana England.
“Saya yakin dapat mempelajari sesuatu di sana (England) nanti,” kata Bunyamin.
“Bola sepak England memang terkenal dengan kepantasan dan kehebatan corak permainannya. Walaupun kami mungkin berbeza dari segi fizikal, tapi saya jamin kami tidak akan menyerah begitu saja.
“Kami juga memiliki kepantasan tersendiri, jadi saya dan Badrul berjanji akan memberi komitmen sebaik mungkin untuk membuktikan yang kami memang layak mewakili nama negara ke kelab tersebut. Maruah negara juga perlu dijaga.”
Mungkin ada yang beranggapan bahawa latihan selama dua minggu bersama kelab Chelsea tidak ubah seperti program ‘makan angin’ kerana pemain tidak akan dapat mempelajari sebarang pengetahuan dalam masa sesingkat itu.
Namun tanggapan ini tidak pernah terlintas di benak pemain sayap Kedah, Badrul.
Bagi anak muda dari Sungai Petani ini, dia sedar bahawa taraf bola sepak negara jauh sekali berbeza jika dibandingkan dengan prestij bola sepak Eropah yang lebih terkenal dan mencabar di mata dunia.
Pemain yang meminati kelibat penyerang Liverpool, Fernando Torres ini berazam mahu membuktikan keupayaan dan kemampuannya sepanjang latihan bersama kelab London itu.
“Saya sedar ramai yang menganggap latihan selama dua minggu tidak cukup untuk seseorang pemain itu menimba sesuatu,” kata Badrul.
“Tapi kita perlu lihat dari sudut positif. Walaupun saya dan Bunyamin akan berlatih bersama skuad remaja Chelsea itu selama dua minggu, saya tetap yakin kami mampu membawa pulang paling kurang pun sedikit pengetahuan dan pengalaman mengenai cara permainan bola sepak Eropah.
“Tempoh masa bukannya menjadi penghalang. Jika seseorang pemain itu mempunyai keazaman untuk memajukan karier bola sepaknya, tempoh itu akan digunanya sebaik mungkin demi kemajuan dirinya sendiri,” katanya.

Apa yang lebih menggembirakan Badrul, dia bukan sahaja dapat mempamerkan aksi lincahnya kepada kelab gergasi Chelsea itu, malah juga dapat menajamkan lagi kemahiran dan idea dalam permainan bola sepak.
Pemain berusia 20 tahun itu juga memuji inisiatif yang diusahakan FAM dengan penganjur kejohanan CYC, Gifted Group yang sanggup membuat pelaburan ke atas mereka demi kemajuan dan pembangunan sukan bola sepak negara.
“Saya memuji inisiatif yang ditunjukkan oleh FAM dalam pembangunan bola sepak negara kita.
“Walaupun tahap dan standard bola sepak kita jauh sekali berbanding dengan bola sepak Eropah, maka mereka menjadikan Eropah sebagai medan untuk pemain muda menimba pelajaran dan pengalaman.
“Ia sesuatu yang perlu diberi pujian dan harus diteruskan pada masa hadapan. Dan kalau boleh, FAM perlu menghantar lebih ramai lagi pemain muda untuk menimba pengetahuan di kelab-kelab handalan Eropah lain,” ujarnya dengan semangat.
Bunyamin dan Badrul merupakan dua pemain terbaru yang akan menimba pengalaman ke kelab Eropah tahun ini.

TONGGAK KEDAH Badrul Bakhtiar (kuning Kedah) ketika beraksi menentang Perak dalam perlawanan TM Piala FA di Alor Star baru-baru ini.
Tahun lepas, dua pemain remaja, Asraruddin Putra Omar dan Khairul Fahmie telah dipanggil menjalani latihan selama dua minggu bersama kelab Belanda, PSV Eindhoven, juga di atas inisiatif Gifted Group.
Kosmo