Posted by: Putera Emas on: July 2, 2006
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan
“KENAPA sekarang?” Itulah keluhan salah seorang daripada 40 juta penyokong juara dunia 1966 itu. Sememangnya, ketiadaan Michael owen pada musim ini akibat kecederaan pada lutut kanannya amat dirasai.
Akibatnya, penyerang England itu dihantar pulang bagi menjalani rawatan segera sekali gus terpaksa melupakan terus Piala Dunia 2006.
Mujurlah rakan Owen di bahagian serangan, Wayne Rooney diberikan lampu hijau untuk menyertai kesebelasan utama setelah status imbasan tapak tulang metatarsal keempat kaki kanannya yang patah, positif.
Masalah kecederaan turut menghantui beberapa kem lain sebaik tirai kempen dibuka seperti Perancis yang menerima tamparan hebat apabila penyerang utamanya, Djibril Cisse terpaksa digugurkan setelah menjalani pembedahan lutut kanan yang patah.
Nasib buruk turut menimpa Itali berikutan beberapa siri kecederaan yang melanda tonggak pertahanan pasukan Azzuri itu. Pendek kata, sejak 9 Jun lalumenyaksikan kehilangan banyak pemain silih berganti.
Apapun, Piala Dunia 2006 hanyalah satu fenomena apabila bercakap tentang kecederaan sukan. Realitinya, masalah yang sama terjadi dalam kehidupan seharian kita.
Baik di kalangan kanak-kanak, pelajar sekolah, remaja mahu pun orang dewasa termasuk wanita yang semakin meminati sukan paling popular di dunia ini, kecederaan berlaku.
“Bola sepak merupakan permainan yang melibatkan pergerakan mula-henti yang pantas serta membabitkan sentuhan atau pertembungan fizikal yang boleh mengakibatkan kecederaan yang mudah.
“Kecederaan pada pergelangan kaki, lutut dan kaki bahagian bawah – lazimnya terkehel – merupakan kecederaan yang kerap berlaku dalam arena bola sepak,” kata Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latif.
Menurut Pakar Bedah Kecederaan Sukan di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur itu, kecederaan lutut pula mewakili kecederaan major yang paling banyak terjadi dalam bola sepak.
“Ligamen kolateral tengah, rawan meniskus dan ligamen cruciate luaran (ACL) adalah bahagian-bahagian lutut yang paling kerap tercedera dalam bola sepak.
“Kebanyakan kecederaan lutut terutamanya pecah ACL berlaku kerana bebanan berlebihan terhadap sendi pergelangan kaki semasa mula-henti secara tiba-tiba oleh pemain,” ujar beliau.
Beliau yang juga pakar runding ortopedik dan artroskopi berkata, pada bahagian kaki, kecederaan yang paling biasa berlaku adalah ketegangan otot- otot atau koyak.
“Bola sepak adalah sejenis sukan yang memerlukan pemecutan mengejut dan ketika inilah kecederaan berlaku. Ketegangan biasanya melibatkan otot-otot groin, hamstring (tendon belakang lutut) dan kuadriseps paha.
“Otot yang tegang lazimnya tidak memerlukan pesakit dikejarkan ke bilik kecemasan tetapi ia menyakitkan. Pemain direhatkan selama beberapa hari ke minggu,” ujarnya.
Ketegangan yang kerap berlaku dalam sukan ini juga boleh berpunca daripada langkah lebih panjang daripada yang termampu dikendali otot.
Patah kedua-dua tulang kaki bawah juga, kata Dr. Azmi, adalah suatu perkara biasa – lazimnya pada bahagian atas shin guard (pelindung tulang kering).
“Ia terjadi apabila seorang pemain terlepas bola dan menendang pemain lain dengan cukup kuat untuk mematahkan tulang tibia dan fibula kaki bawah lawan.
“Kaki perlu ditopang dan pemain berkenaan hendaklah segera berjumpa pakar. Ia mungkin memerlukan pembedahan terutamanya jika kepatahan terbuka (terkeluar dari kulit) dan tidak stabil.”
Mengenai kecederaan kepala pula, ia boleh terjadi apabila dua pemain cuba menanduk bola dan terhantuk sesama sendiri. Ia menyebabkan kontusi – luka atau lebam atau pun lebih serius, kecederaan leher. Patah hidung, pipi dan rahang juga boleh terjadi.
Mengenai kontroversi sama ada trauma berulang dari tandukan bola boleh mengakibatkan ‘otak bergegar’ dan cedera seperti para peninju, Dr. Azmi berkata:
“Pemain mungkin mengadu pening, sakit kepala atau leher. Biasanya, pemain akan dikeluarkan daripada perlawanan terbabit sahaja dan menerima rawatan kontusi ringan.
“Keluhan yang berulang memerlukan penilaian perubatan serius. Bagaimanapun sehingga kini, tiada kajian kecederaan otak kronik yang terbukti.”
Posisi pemain, jelas beliau, turut menentukan tahap kecederaan dengan penyerang dan pemain tengah paling berpotensi.
Terpaan atau terjahan yang sering dilakukan oleh penjaga gol bagi mengelak bola memasuki gawang pula menjadikan mereka lebih rentan terhadap kecederaan bahu dan siku.
Menangkap dan menahan bola sering mengakibatkan kecederaan pergelangan tangan dan tangan serta patah jari.
Rawatan
Bagi kecederaan minor, konsep RICE (rehat, ais, kompresi dan mengangkat) digunapakai.
Dengan prosedur pembedahan terkini seperti atroskopi yang tidak memerlukan pembedahan terbuka, sekadar menggunakan wayar kecil berlampu untuk meninjau kecederaan dalaman, pemain mampu kembali beraksi dalam masa yang singkat.
“Rawatan biasanya mengembalikan sebanyak 70 peratus kekuatan dalam tempoh enam bulan, 90 peratus (setahun) dan 18 bulan (sepenuhnya).
“Namun, itu tidak semestinya membolehkan pemain bermain semula. Rehabilitasi/pemulihan semula juga adalah penting,” kata Dr. Azmi.
Pencegahan
Senaman memanaskan badan selama lebih kurang 20 minit membantu mencegah pemain daripada mengalami kecederaan.
“Selalulah melakukan regangan selepas memanaskan badan. Lebih fleksibel seseorang pemain itu, kemungkinan untuk mengalami ketegangan di luar kapasiti serta menarik atau mengoyakkan otot-otot juga berkurangan.
“Paling penting adalah berhenti bermain apabila letih kerana insiden kecederaan selalunya lebih kerap berlaku semasa badan letih, apabila pergerakan badan pemain kurang terkawal,” kata Dr. Azmi.
Terdapat dua jenis kecederaan sukan iaitu akut dan kronik
AKUT selalunya melibatkan kecederaan yang cepat dengan gejala yang teruk dalam jangka masa singkat seperti:
* Patah
* Kontusi/lebam; menyebabkan bengkak dan berdarah di dalam otot-otot serta lain-lain tisu badan
* Strain/tegang; koyak otot-otot atau tendon
* Terseliuh/terkehel/tergeliat; tegang atau koyak ligamen
* Abrasi; lelasan, luka kecil pada permukaan kulit atau membran mukus akibat geselan atau goresan
* Laserasi; luka pada kulit yang dalam dan memerlukan jahitan.
KRONIK kecederaan tempoh panjang setelah beberapa kecederaan akut
* Patah stres/tekanan; retak kecil tulang permukaan yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan secara berulang
* Tendinitis; keradangan tendon berpunca daripada ketegangan berulang
* Epifisitis/apofisitis; radang epifisis tulang panjang.
Antara pemain yang mengalami kecederaan musim ini:
* Kapten pasukan tuan rumah Michael Ballack; betis.
* Pencipta rekod jaringan terbanyak Piala Dunia, Ronaldo; melecet di kaki
* Mesin gol Ukraine yang digeruni, Andriy Shevchenko; lutut manakala Andriy Voronin; otot paha terkoyak
* Tonggak pertahanan Itali, Gianluca Zambrotta dan Gennaro Gattuso; paha manakala Alessandro Nesta; kecederaan lama otot
* Pemain Veteran Paraguay Jose Cordoza; paha
* Jan Koller pemain Republik Chech; paha manakala Milan Baros; saraf kaki kiri
* Pemain pertahanan berpengalaman Korea Selatan Choi Jin-Cheul; tulang punggung
* Perancang utama Juara Asia, Jepun, Shunsuke Nakamura; paha kiri
* Pemain tengah Poland, Kamil Kosowski; hamstring.
Utusan Malaysia